Mulakan Bismillah sebelum membaca, Jadikan amalan sepanjang masa, Maaf dipohon tersilap bicara, Ini sekadar renungan bersama.. ^_^
"Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh atau solehah dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri.Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah, maka akan jadi sedikitlah orang yang memberi peringatan."
-Hassan Al Basri-

Monday 8 July 2013

Renung-renungkan...^_^

1 ) KONGSI LOLIPOP...

Azhar dan Abu bersahabat, namun daripada latar belakang yang berbeza. Azhar anak seorang peniaga. Abu pula miskin dan yatim piatu. Dia tinggal bersama-sama neneknya yang sudah tua.
Mereka sedang berjalan beriringan.Azhar sedang mengulum sebatang lolipop.
Abu bertanya : "Apa di dalammulut kau Azhar?"
" Lolipop"
"Lolipop? macam mana rasa lolipop ya?"Abu bertanya lagi.
"Engkau tak pernah rasa lolipop?"
Abu menggelengkan kepala. Dek kemiskinan, Abu tidak pernah rasa lolipop apatah lagi membelinya.
"Nah, kau ambil ni dan rasa"
"Terima kasih"Abu pantas menyambut lolipop tersebut sambil senyum.
"Wah, manisnya!Rupa-rupanya macam ni rasanya lolipop!"
"Okey, sekarang kau dah tahu rasa lolipop kan? Sekarang boleh kau pulangkan lolipop aku tu?"
Dengan berat hati Abu menyerahkan kembali lolipop itu.Abu mendapat satu helah.
"Eh,aku dah lupa la macam mana rasa lolipop tadi"Katanya tiba-tiba.
"Kan kau dah rasa tadi."
"Kejap sangat.Tu yang aku dah lupa rasanya."
"Okey. Engkau rasa lolipop ni selama 10 saat.Kemudian aku pula 10 saat."Lolipop bertukar mulut.
"Satu, dua, tiga, empat,lima, enam, tujuh..."Azhar mengira.Kemudian dia bertanya : "Lepas tujuh apa ya?"
"Dua"jawab Abu.
"satu,dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh, lapan..."Azhar mengira lagi.Sekali lagi terbantut.
"Lepas lapan apa ya?"
"Dua!"
"satu,dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh..."Azhar mengira lagi.
"eh, kenapa aku kira tak habis-habis ni?"
Abu yang kasihankan Azhar,menghulurkan kembali lolipop kepada sahabatnya itu.Sebaik sahaja lolipop itu berpindah ke dalam mulut Azhar, Abu pantas mengira. Tepat dalam 10 saat Abu mengira sampai angka 10. Azhar akur. Diberikan lolipop kepada Abu.Azhar pula mengira. Kali ini tepat.
"Kamu tahu mengira sebenarnya?" Azhar sekadar tersengih. Tahulah Abu bahawa Azhar sengaja mengira dengan salah untuk memberikannya peluang makan lolipop lebih lama.

Pengajarannya : Demi sebuah persahabatan, seorang insan sanggup melebihkan sahabatnya berbanding diri sendiri. Persahabatan yang paling indah semestinya persahabatan yang diasaskan atas rasa cinta kepada Allah....


2 ) TUKARKAN KEPADA SESUATU YANG LEBIH BAIK...

Di dasar laut yang bening dan jernih, tinggal sepasang tiram sederhana besar bersama koloninya yang melekat kukuh pada sebiji batu yang besar.Makanan mudah didapati di situ dan habitatnya sangat sesuai untuk koloni tiram.
   Suatu hari, arus tiba-tiba mengalir sangat deras sehingga menerbangkan butir-butir pasir di dasar laut tersebut.Sepasang tiram tersebut tidak sempat menutup cangkerang mereka dan terpaksa menelan beberapa butir pasir yang termasuk ke dalam cangkerang mereka. Mereka cuba meludah pasir-pasir tersebut, tetapi tidak mampu.
   Mereka cuba menganga luas-luas agar pasir dapat dikeluarkan, namun mereka berdepan dengan risiko lebih banyak pasir termasuk ke dalam cangkerang.Setelah pelbagai ikhtiar dilakukan, tiram tersebut memberi satu cadangan kepada pasangannya, "Jika kita tidak boleh mengeluarkan pasir ini, apa kata kita cuba tukarkannya kepada sesuatu yang lebih baik?"
   Pasangannya setuju tanpa sebarang bantahan. Setelah bertahun-tahun butiran pasir itu berada dalam cangkerang sepasang tiram itu, akhirnya terhasillah sesuatu yang berharga. Warnanya putih bercahaya. Itulah dia sebutir mutiara yang asalnya hanya pasir.

Pengajarannya : Jika tiram mampu mengubah sebutir pasir menjadi mutiara, maka manusia yang dikurniakan Allah dengan akal, lima pancaindera, hati dan status sebagai khalifah, apa agaknya yang manusia mampu lakukan??

No comments:

Post a Comment